MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Perlis

Laluan Perkhidmatan MyBAS Di Perlis Distruktur Semula

Laluan perkhidmatan MyBAS di Perlis meliputi laluan antara bandar dan kawasan luar bandar akan distruktur semula dalam masa terdekat, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata langkah itu melibatkan penambahan laluan baharu serta penamatan laluan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan tersebut lebih meluas dan dapat digunakan secara optimum di Perlis.

“Banyak maklum balas yang diberikan menyatakan perkhidmatan MyBAS di Perlis tidak mendapat sambutan kerana tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan awam tersebut.

“Malah ada yang melihat perkhidmatan berkenaan seolah-olah tidak relevan serta perlu dikurangkan, tetapi SPAD melihat perkara ini secara sebaliknya malah akan ditambah baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kangar untuk meninjau perkhidmatan MyBAS di sini hari ini.

Terdahulu, Syed Hamid bersama kakitangan SPAD serta pengamal media menaiki MyBAS dari Terminal Bas Bukit Lagi, Kangar menuju ke Terminal MyBAS Arau, di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ahmad Zamri Khairuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Kepenggunaan dan Pengangkutan Negeri Perlis, Datuk Sabry Ahmad.

Syed Hamid berkata langkah promosi berkesan perlu dilakukan bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam itu selain menyahut aspirasi kerajaan ke arah mentransformasi sistem pengangkutan awam darat di Malaysia.

“Sejak MyBAS dilancarkan di Perlis pada Ogos tahun lepas, dan sehingga Mei 2016 ini, trend penumpang adalah meningkat seterusnya membuktikan permintaan terhadap perkhidmatan ini ada.

“Pada Ogos 2015, sebanyak 18,350 penumpang menaiki MyBAS dan ia terus meningkat setiap bulan, pada Mei 2016 sebanyak 22,503 orang telah menggunakan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata tidak dinafikan ada laluan yang dilihat tidak relevan dan sangat jarang menerima penumpang seperti laluan dari Kaki Bukit ke Wang Kelian dengan hanya 230 penumpang sejak ia dilancarkan.

“Laluan ini mungkin akan kita tamatkan. Selain itu kita akan memberi fokus kepada laluan yang melibatkan kegunaan daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perlis.

“Pada masa sama kerja-kerja menyempurnakan pusat-pusat hentian bas dan pondok bas perlu dipergiatkan bagi menyediakan perkhidmatan awam terbaik buat rakyat di Perlis,” katanya.

Perlis memiliki 27 buah MyBAS melibatkan 15 laluan perkhidmatan sedia ada di seluruh negeri dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit atau 30 minit.

 

Sumber:mynewshub

Nearby Location

Food Outlet
Name Distance Direction
Hai Thien Seafood Show Direction