MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Perlis

Sukan tarik pelancong ke Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyarankan aktiviti sukan dijadikan satu daripada wadah untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Baginda bertitah, beberapa prasarana sukan yang disediakan semasa Sukan Malaysia (Sukma) Perlis tahun ini boleh terus digunakan untuk penganjuran kejohanan sukan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah peringkat antarabangsa.

“Apabila ada penganjuran sebegini, bukan sahaja dapat menarik kedatangan peserta sukan untuk mengambil bahagian, malah juga para penyokong mereka, sekali gus membuka ruang kepada Perlis memajukan bersama industri pelancongan sukan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra 2014 (Perlis/Milo) kali ke-34 di Dewan 2020 di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Jamil Saad.

Raja Perlis bertitah, saiz yang kecil bukan bermakna Perlis tidak boleh menjadi penganjur sukan yang besar hingga ke peringkat antarabangsa sebagaimana dibuktikan melalui penganjuran Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra (Perlis/Milo) itu.

“Sejak 34 tahun lalu Perlis menganjurkan sukan ini hingga menjadi sebutan pemain-pemain tenis remaja dunia yang begitu berminat untuk menyertainya untuk mengasah bakat mereka dalam sukan berkenaan sebelum melangkah ke pertandingan lebih besar setelah mereka dewasa,” titah baginda.

Sebanyak 13 negara mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini terdiri daripada Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Jepun, Filipina, Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Kyrgystan, Takijistan, Thailand, Rusia dan Myanmar di samping kebanyakan negeri di Malaysia.

Kejohanan melibatkan lebih 250 pemain bagi kategori umur bawah lapan, sepuluh, 12, 14 dan 16 tahun diadakan dari 30 November hingga 4 Disember.

Kejohanan anjuran bersama kerajaan negeri dan Persatuan Tenis Perlis itu diadakan di gelanggang tenis Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini dan Universiti Teknologi Mara Perlis di Arau.

Sumber:Utusan Malaysia

Nearby Location

Food Outlet
Name Distance Direction
Hai Thien Seafood Show Direction